IPOH 12 Ogos – Pengendali Perak, Mehmet Durakovic menepis spekulasi dalam laman sosial yang mendakwa dia akan kembali membimbing pasukan Selangor pada musim depan.

Menurutnya, beliau menolak khabar angin yang tersebar itu sebaliknya menegaskan masih meneruskan tugasnya sebagai pengendali Perak musim ini.

“Saya telah mengendali pasukan Perak dalam tempoh yang lama, jadi saya mahu memenangi kejuaraan bersama Perak.

“Ketika sedang sibuk dalam kempen Piala Malaysia, terdapat pula spekulasi terhadap saya, ini terpulang kepada mereka untuk menilainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Perak, di sini semalam.

Sebuah akhbar melaporkan terdapat khabar angin yang menjadi tular dalam laman sosial kononnya pengendali Perak itu dalam radar Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon bagaimanapun enggan mengesahkan khabar angin tersebut. – UTUSAN ONLINE