IPOH: Sistem kupon parkir masih digunakan walaupun sistem e-Parking Park@Perak telah diperkenalkan mulai 1 Januari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, aplikasi itu hanyalah satu alternatif bagi memberi kemudahan kepada pengguna.

Bagaimanapun, kata beliau, penggunaan aplikasi itu tidak bermakna penggunaan kupon telah dihentikan.

“Kerajaan negeri komited untuk melaksanakan pembaharuan bagi memberi kemudahan kepada rakyat namun dalam masa sama tetap mengambil kira tahap kesesuaian dan kesannya kepada rakyat secara menyeluruh.

“Atas faktor itu, kerajaan negeri sama sekali tidak akan mengambil tindakan yang dilihat memudahkan sesetengah pihak, namun dalam masa sama mendatangkan kepayahan kepada golongan lain pula,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di pejabatnya pada Rabu.

Ahmad Faizal berkata, dengan sistem Park@Perak, pengguna tidak perlu tercari-cari kedai menjual kupon, tidak perlu ke kereta untuk membuat bayaran tambahan, di samping menjimatkan masa serta mengurangkan penggunaan kertas yang mendatangkan kesan kepada alam sekitar.

Bagaimanapun, kata beliau, tinjauan di media sosial terutamanya Facebook mendapati, berlaku kekeliruan di kalangan masyarakat mengenai sistem pembayaran parkir secara atas talian menggunakan aplikasi Park@Perak.

Menurut beliau, antara rungutan yang sering ditimbulkan adalah ketiadaan telefon pintar, kemampuan penggunaan teknologi yang rendah oleh golongan tertentu khususnya warga emas serta capaian internet terhad di kawasan-kawasan tertentu.

“Isu ini mendapat komen negatif di kalangan netizen susulan status yang dimuatnaik dalam satu laman blog mendakwa tiada lagi kupon parkir di Perak yang telah ditularkan di laman media sosial baru-baru ini,” ujarnya.