JOHOR BAHRU: Pasar raya Econsave membersihkan lebih 9,000 troli dan 1,800 bakul di semua 18 cawangan pasar raya itu di seluruh negeri ini dalam usaha menghindari penyakit berjangkit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Pengurus Operasi Pasar Raya Econsave Bahagian Selatan, Mas Imran Adam, berkata pembersihan semua troli dilakukan secara berperingkat selama dua hari bermula hari ini dengan kekerapan mengikut keperluan di kawasan setiap pasar raya itu berada di mana jika ada kes HFMD, ia akan dilakukan lebih kerap.

“Kita mendapat persetujuan dan panduan cara pembersihan troli daripada Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu dengan menggunakan cecair antiseptik dengan nisbah satu liter cecair antiseptik bersamaan sembilan liter air.

“Semua troli akan dicuci menggunakan bancuhan itu dan dibiarkan kering bagi memastikan kuman dapat dihapus sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di Pasar Raya Econsave Taman Daya di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut menyediakan cecair sanitasi di setiap pintu masuk di cawangan pasar raya berkenaan sebagai kemudahan kepada pengunjung untuk sentiasa bersih dan mengelak wabak berkenaan.

Katanya, cecair sanitasi diberikan secara percuma kepada pengunjung dan pihaknya bercadang menyediakan cecair sanitasi industri yang mampu memenuhi keperluan pekerja mereka.

“Malah, semua pekerja perlu menggunakan cecair sanitasi sebelum memulakan tugas masing-masing, ia bertujuan memastikan pasar raya kami sentiasa bersih dan tidak membahayakan pengunjung terutama kanak-kanak dan warga emas.

“Langkah ini sebagai pencegahan kerana di Johor Bahru masih belum ada kes yang dicatatkan, kami berharap ia dapat mengelak kes itu dari menular ke sini dan menjamin kesihatan pengunjung,” katanya.

Selain itu, katanya, semua 72 cawangan pasar raya berkenaan di seluruh negara mengambil bahagian membersihkan troli dan bakul masing-masing bermula hari ini dan esok – berita harian