IPOH: Bagi menghargai sumbangan media, antara barisan hadapan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pusat membeli belah Econsave menghulurkan bantuan 40 bungkusan barangan keperluan asas kepada petugas media di Perak.

Pengurus Econsave Bercham, Shah Effendy Rosman berkata, sumbangan itu antara aktiviti khidmat sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan yang memerlukan.

Menurutnya, sumbangan itu diharap dapat mengurangkan serba sedikit bebanan petugas media, terutamanya yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac 2020 sehinggalah Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020.

“Sumbangan ini menandakan bahawa hubungan dan kerjasama kami terhadap rakan-rakan media khasnya dari Kelab Sukan & Kebajikan Media Perak (KSKMP) tetap terjalin walaupun kita masing-masing sedang sibuk bersatu menangani krisis Covid-19 sehingga hari ini.

“Rakan-rakan media juga merupakan petugas barisan hadapan yang penting bukan sahaja semasa krisis covid-19 ini, malah mereka sentiasa bersedia setiap masa apa saja tugasan bagi menyebarkan maklumat kepada orang ramai,” katanya sebagai mewakili Pengurus Besar Bahagian Utara-2, Mr Chua Yong Chiang.

Sumbangan disampaikan kepada Presiden Kelab Sukan & Kebajikan Media Perak, Rosli Mansor Ahmad Razali, baru-baru ini.

Sementara itu, Rosli Mansor berkata, KSKMP mengucapkan ribuan terima kasih diatas sumbangan dari Econsave yang pastinya meringankan bebanan kepada pihak media yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

“KSKMP dan Econsave sememangnya telah lama menjalingkan hubungan yang erat terutamanya menjayakan program-program komuniti yang melibatkan golongan-golongan yang kurang bernasib baik.

“Usaha yang dijalankan oleh Econsave selama ini dalam membantu masyarakat amatlah dihargai dan KSKMP akan sentiasa membantu dalam memberi infomasi komuniti yang harus mendapat perhatian,” ujarnya.