PUTRAJAYA– Pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diharapkan dapat meningkatkan penjualan minyak sawit Malaysia kepada China.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, meskipun tidak dinyatakan secara langsung di dalam kontrak terbaharu itu, Malaysia mempunyai kelebihan dalam usaha mengeksport lebih banyak minyak sawit kepada negara berkenaan.

“(SA) itu tidak secara langsung berkaitan (dengan eksport minyak sawit) tetapi kami akan mengambil peluang ini untuk berusaha di dalam penjualan minyak sawit.

“Itu yang akan berlaku,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

China merupakan pengimport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit Malaysia dengan jumlah keseluruhan eksport sebanyak 3.07 juta tan bernilai RM8.38 bilion tahun lepas.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 7.3 peratus lebih tinggi berbanding 2.86 juta tan yang dijual pada harga RM9.39 bilion tahun sebelumnya.

Ketika ditanya apakah lokasi ahli perniagaan kontroversi, Jho Low juga menjadi salah satu perkara yang disebut semasa rundingan ECRL dengan China, Dr. Mahathir menafikannya.

Jelasnya, ia tidak termasuk di dalam agenda bagaimanapun Malaysia memang ada meminta bantuan daripada China untuk mengenal pasti lokasi ahli perniagaan yang sedang dalam perlarian itu.

Menurut Perdana Menteri, kesudiaan China untuk berunding dan bersetuju dengan syarat dalam SA itu mungkin kerana mereka memahami beban kewangan yang sedang ditanggung oleh Malaysia.

Projek sejauh 640 kilometer itu menyediakan dua jenis perkhidmatan iaitu tren penumpang dan kargo.

Terdapat 20 stesen yang merangkumi 14 stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan kargo serta sebuah stesen kargo sahaja di sepanjang landasan.

Dengan adanya ECRL, perjalanan dari Kota Bharu ke Putrajaya bakal mengambil masa kira-kira empat jam yang mana tren penumpang berkelajuan 160km/jam manakala tren kargo bergerak dengan kelajuan 80km/jam.

Menurut Perdana Menteri, penurunan kos dapat dicapai melalui pelaksanaan nilai kejuruteraan dan jajaran baharu di selatan. Ini juga hasil daripada mengelakkan pembinaan terowong sepanjang 17.8km dari bentong ke gombak.

Projek yang menghubungkan terus Kuantan ke Lembah Kelang dengan menawarkan jambatan atas tanah di antara dua pelabuhan itu tidak akan melalui Permatang Kuarza Genting Kelang dan sekaligus memelihara sumber asli di Tapak Warisan Dunia UNESCO itu.

Ia juga akan memberi kesinambungan kepada Laluan Rel Ekspres (ERL) sedia ada dan MRT2 Laluan SSP dengan tren pertukaran di Putrajaya Sentral yang menghubungkan KLIA dan bandaraya Kuala Lumpur.

Ini juga akan meningkatkan kesalinghubungan ke Pantai Barat kerana penumpang ECRL boleh menggunakan tren pertukaran KTM Komuter dan perkhidmatan KTMB ETS di stesen ECRL Bangi/Kajang. – MalaysiaGazette