IPOH: Kongres Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) kali ke – 60 yang berlangsung di Hotel Casuarina@Meru, di sini, hari ini dicemari dengan surat layang yang dikatakan memfitnah dua ahli majlis persatuan itu.

Mereka ialah Mahhadee Ramlee dan Johari Baharom.

Surat layang yang dimasukkan dalam beg perwakilan itu mendakwa, kedua-dua mereka melakukan pelbagai salah laku seperti membawa masuk penonton serta melakukan penipuan penjualan tiket.

Menurut Mahhadee, tuduhan itu adalah fitnah dan tohmahan untuk menjejas imej serta maruahnya dan Johari.

“Dengan cara ini pihak terbabit berharap dapat menyingkirkan kami dari persatuan dalam pemilihan pada kongres tadi,” kata Mahhadee.

Mahhadee yang menjadi ahli majlis PAFA sejak 2011, yakin layang itu bertujuan untuk mempengerahui perwakilan supaya tidak mengundi kedua-dua mereka yang mendapat pencalonan tertinggi iaitu 15 daripada 18 ahli gabungan.

Pada pemilihan itu, Mahhadee berjaya mengekalkan jawatan manakala Johari kecundang melalui undian semula selepas terikat dengan dua calon lain.

Menurut Johari pula, adalah mustahil mereka boleh terlibat dalam penjualan tiket kerana tiada akses kepada tiket.

“Kami langsung tidak terbabit dengan tiket kerana sebagai pegawai keselamatan kerja kami meronda dan melihat kawalan dipintu masuk stadium,” dakwanya.

Berikutan itu Mahhadee dan Johari membuat laporan polis di balai Polis Jelapang, petang tadi dalam usaha membersihkan nama mereka.