MESUT Ozil menolak peluang untuk menjadi salah seorang pemain bola sepak yang memperoleh bayaran tertinggi di dunia, untuk kekal bersama Arsenal, menurut ejennya, Dr Erkut Sogut.

Pemain kelahiran Jerman itu kini memasuki lima bulan terakhir bagi kontraknya bersama Arsenal semasa bersetuju untuk menandatangani kontrak selama tiga setengah tahun bernilai £350,000 seminggu pada Februari.

Kesepakatan itu sudah cukup untuk membuatnya menjadi pemain kelab yang memperoleh bayaran tertinggi, yang menyebabkan ramai membuat kesimpulan angka turut memainkan peranan.

Bagaimanapun, menerusi wawancara bersama Evening Standard, Sogut mendedahkan Ozil menolak peluang untuk mendapatkan apa yang sepatutnya menjadi kontrak bernilai £1 juta (RM5.5 juta) seminggu untuk bermain di Asia.

“Kita mendapat beberapa tawaran yang sangat besar dari Asia – sesetengahnya adalah ‘tawaran gila’,” kata Sogut.

“Tetapi, untuk Mesut, wang bukanlah faktor terbesar.

“Wang pasti sebagai salah satu perkara penting untuk dipertimbangkan, tetapi masyarakat harus ingat bahawa kemampuan bola sepak hanyalah salah satu aspek daripada rundingan kontrak. Impak komersial pemain pada masa kini adalah penting.

“Mesut mempunyai media sosial terbesar berbanding mana-mana pemain pun dalam Liga Perdana Inggeris dan saya baru saja membaca bahawa baju jersinya (jualan) adalah yang terbesar di kelab itu. Pasarannya di seluruh dunia,” kata Sogut. – Mail Online