KUALA NERUS: Seramai 200,000 pengunjung bertuah Ekspo Terengganu 2018 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri di sini, akan menerima baucar makanan daripada restoran makanan segera, Chicken Cottage.

Baucar bernilai RM10 setiap satu itu, boleh ditebus di ‘food truck’ Chicken Cottage dan 55 peniaga trak makanan lain di tapak ekspo berkenaan, bermula hari ini, sejurus dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad Razif berkata, agihan baucar percuma itu dilakukan secara berperingkat, iaitu 30,000 baucar sehari sehingga hari terakhir ekspo pada 3 Mac ini.

Beliau berkata, agihan baucar makanan Chicken Cottage secara percuma itu adalah sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif dan aktiviti khidmat masyarakat kerajaan negeri, selaras dengan program pelancongan negeri.

“Trak makanan Chicken Cottage ini dapat menyediakan sehingga 220 hidangan setiap sejam dan orang ramai boleh mendapatkan makanan bermula jam 10 pagi.

“Agihan baucar untuk orang ramai pula dibuat melalui 32 Dewan Undangan Negeri, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Pendidikan Negeri (JPNT), Pejabat Kesihatan, petugas media dan sukarelawan,” katanya ketika merasmikan food truck Chicken Cottage dan T-Kitchen di tapak ekspo di sini, petang semalam.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman; Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Tun Feisal Tun Abdul Razak; Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pengarang NSTP, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya.

Sedia dua unit food truck Chicken Cottage

Dua unit food truck Chicken Cottage seberat lima tan setiap satu yang dilengkapi peralatan dapur bermutu tinggi dan bertaraf antarabangsa disediakan di tapak ekspo, bagi memastikan makanan disediakan segar dan berkualiti.

Sementara itu, Tengku Zaihan ketika ditemui pada majlis pelancaran keluaran khas ‘Beautiful Terengganu’ dengan kerjasama NSTP, berkata sisipan itu diyakini mampu membantu mempromosikan secara lebih meluas tarikan pelancongan di Terengganu.

“Apatah lagi, ia diterbitkan dalam dwi bahasa iaitu Melayu di BH dan Inggeris di NST. Ia akan memberi maklumat lengkap mengenai tarikan pelancongan negeri ini kepada pelancong luar,” katanya.

Pembaca BH dan NST boleh mendapatkan keluaran khas Beautiful Terengganu itu dengan pembelian naskhah BH dan NST hari ini – berita harian