BUKIT MERAH – Yayasan Pulau Orang Utan terpaksa menanggung kerugian sekitar RM250,000 berikutan fenomena El Nino yang mélanda kawasan itu sejak awal April lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr D Sabapathy berkata, jumlah itu adalah termasuk kos pembelian makanan orang utan, penyelenggaraan pusat kajian dan konservasi pulau serta gaji pekerja.

Menurut beliau, fenomena cuaca kering itu telah memberikan kesan negatif kepada pelancongan eko dan pengunjung juga tidak lagi datang untuk melawat pusat tersebut.

“ Ini merupakan keadaan terburuk pernah kami alami sepanjang 13 tahun lepas dan kos kerugian ini sebenarnya adalah amat tinggi bagi pihak kami,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di Jeti Utama Orang Utan, Bukit Merah Laketown Resort pada petang Khamis.

Beliau berkata, Pulau Orang Utan itu terbahagi kepada tiga komponen iaitu Pelancongan Eko, Hub Pendidikan Pengunjung serta Pusat Kajian Orang Utan.

Menurut Dr Sabapathy, kesemua keuntungan yang dijana daripada kunjungan pelawat akan disalurkan kepada tujuan pendidikan serta aktiviti kajian dan penyelidikan pelajar memandangkan ianya adalah sebuah organisasi tanpa keuntungan atau non-profit organization.

Kebanyakan pelajar dari seluruh Malaysia khususnya jurusan Sains Biologi, Veterinar atau Konservasi Haiwan akan datang ke pulau tersebut bagi tujuan penyelidikan. namun kini semuanya terpaksa dibatalkan berikutan kadar air di Tasik Bukit Merah yang semakin menyusut.

Beliau berkata, kebiasaannya, pulau tersebut dikunjungi antara 50 hingga 60 pelawat setiap hari dan jumlah itu meningkat kepada 150 orang pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“ Kami  tidak boleh mengabaikan 24 ekor orang utan yang masih berada di pulau itu, justeru sejumlah besar peruntukan harus diberikan untuk membeli susu, buah-buahan dan vitamin untuk haiwan peliharaan tersebut.

“ Para pekerja juga harus ke pulau itu tiga kali sehari dan ia memakan kos yang tinggi khususnya dari segi penyelenggaraan pengangkutan dan set penjanaan elektrik,” ujarnya.

Dr Sabapathy amat berharap bantuan orang ramai untuk memberikan sokongan kewangan dan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 5080-5633-1903 di bawah Yayasan Pulau Orang Utan.