IPOH: Aduan daripada guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) wanita yang terpaksa mengambil cuti bersalin kurang daripada tempoh yang sepatutnya bagi mengelakkan pemotongan elaun, wajar mendapat perhatian.

Menurut Salbiah Mohamed (BN-Temengor), terdapat guru KAFA Perak yang menerima elaun sebanyak RM1,000 sebulan, namun hanya akan mendapat RM200 jika cuti bersalin selama enam puluh hari.

“Dalam konteks ini kita mahu sediakan wanita untuk memenuhi pasaran kerja, oleh itu tidak boleh ‘double standard’ (berat sebelah) memandangkan ada guru KAFA yang mendakwa terpaksa cuti bersalin selama tiga puluh hari sahaja.

“Disebabkan mereka bimbang elaun akan dipotong sebanyak RM800 dan hanya menerima RM 200 sahaja, maka guru KAFA wanita ini perlu terus mengajar untuk mendapatkan pendapatan,” katanya dalam sesi perbahasan pada Sidang DUN pada Khamis.

Dalam pada itu, Salbiah turut mencadangkan supaya elaun yang diterima sebelum ini ditukar kepada bentuk skim gaji bulanan yang lebih sesuai untuk memastikan kebajikan mereka terbela.