KUALA LUMPUR: Orang awam digesa mengelak menggunakan ‘orang tengah’ bagi sebarang urusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebaliknya menggunakan perkhidmatan JPJ dalam talian yang lebih mudah, kata Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Nawawi.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya menerima aduan selepas beberapa orang awam yang menggunakan khidmat ‘orang tengah’ sebagai langkah untuk mempercepat urusan di kaunter JPJ dengan mengenakan caj berlebihan.

“JPJ telah mengeluarkan notis agar orang ramai terus berurusan di kaunter tetapi masih ada yang menggunakan khidmat orang tengah walaupun mereka ini mengenakan caj berlebihan.

“Untuk mengatasi masalah ini, orang awam digalak mendaftar diri ke sistem dalam talian yang memberi akses kepada pelbagai perkhidmatan JPJ,” katanya pada sidang media selepas lelongan awam kenderaan sita di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya berjaya melelong 101 kenderaan dan memperoleh kira-kira RM1 juta hasil bidaan.

Jumlah bidaan tertinggi ialah RM55,600 bagi sebuah Toyota Estima. – BERNAMA