BAGAN SERAI – Polis akan mengadakan mesyuarat khas dengan pengurusan Mydin Parit Buntar bagi menangani tiga kes pecah cermin kereta dalam satu hari yang dilaporkan berlaku di kawasan parkir di pasar raya itu baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mesyuarat itu bagi membolehkan pengurusan Mydin dapat membaiki tahap keselamatan dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di situ untuk mengelak kejadian itu berulang.

“Walaupun ada anggota keselamatan Mydin yang bertugas tetapi tidak membuat rondaan di kawasan parkir.

“Mydin dan tiga mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek terbabit,” katanya kepada media di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, motif suspek memecahkan cermin kereta untuk mencuri barang-barang dalam kereta mangsa.

Beliau menasihatkan pemilik kenderaan agar menyimpan barangan berharga dan tidak meninggalkan barangan berharga serta terdedah dalam kereta mereka.

Sementara itu, beberapa laporan media sosial mendedahkan beberapa kes susulan pecah cermin kereta turut berlaku bukan sahaja melibatkan kawasan perkarangan Mydin Mall, malahan kini berlarutan ke kawasan parkir Hospital Parit Buntar dan sebuah pasaraya di Taman Wawasan di sini, sejak seminggu lalu.

Bahkan, terdapat beberapa individu yang mendakwa cermin kereta mereka turut dipecahkan dan barangan berharga di dalam kereta dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab dipercayai individu sama terlibat dengan kes-kes hampir sama sebelum ini.

Wakil pengurusan Mydin Mall Parit Buntar memaklumkan kepada Sinar Harian bahawa beberapa laporan polis dibuat manakala beberapa gambar fotofit serta kenderaan dinaiki suspek yang berjaya dirakam kamera rakaman tertutup (CCTV) diletakkan pasaraya itu sudah diserahkan kepada polis sebelum ini.

“Berdasarkan bukti gambar fotofit diambil, suspek dipercayai berusia lingkungan 50an dan dipercayai menjalankan kerja jenayah itu bersama dua lagi rakan yang menunggu di dalam sebuah kereta.

“Suspek juga dipercayai memecahkan cermin kereta suspek dengan membaling sebuah objek keras sebelum bertindak mengambil apa jua barangan berharga yang dijumpai di dalamnya.

“Pengurusan Mydin Mall bersedia bekerjasama dengan polis bagi membantu menangkap suspek memandangkan kami tidak mahu berterusan dituduh kononnya tidak mengambil berat terhadap keselamatan harta benda pelanggan kami,” katanya – sinar