TELUK INTAN – Arahan mewujudkan akta baharu atau meminda Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 melibatkan orang tengah dilihat langkah wajar mengatasi manipulasi golongan berkenaan terhadap harga barang di pasaran.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan berjumpa dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam masa terdekat untuk membincangkan isu berkenaan.

“Saya percaya mereka akan mengaturkan pertemuan bersama penasihat undang-undang serta pegawai teknikal kementerian masing-masing dalam menjayakan pindaan akta tersebut.

“Soal pindaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sewajarnya diberikan kepada KPDNKK kerana itu berada dalam kuasa kementerian berkenaan dan MOA akan bersama-sama berbincang menjayakannya,” katanya selepas Majlis Perasmian Arena Of Square Kampung Sungai Jejawi, semalam.

Katanya, untuk memastikan harga barang tidak naik, cadangan itu perlu dilihat dari segi bekalan dan permintaan dalam pasaran selain penglibatan orang tengah.

“Di peringkat kementerian, saya melihat untuk memastikan harga barang tidak naik ia perlu dilihat dari segi bekalan yang mencukupi kerana kebiasaannya jika permintaan tinggi namun bekalan kurang peniaga akan naikkan harga berkali ganda,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa dari segi pemantauan ia adalah tugas KPDNKK bagi memastikan peniaga tidak mengambil keuntungan yang berlebihan hingga menyusahkan pengguna.

“Sebab itu saya kata dari segi pindaan akta ia di bawah bidang kuasa KPDNKK dan kalau perlu diperketat akta tersebut maka KPDNKK akan membawanya ke Parlimen untuk dipinda.

“Jika ini dilakukan ia sudah pasti dapat memastikan tiada lagi kelompangan sehingga orang tengah mengambil kesempatan,” katanya.

-SinarHarian