PANGKOR: “Saya cuba sesuatu yang mencabar minda dengan belajar bahasa Melayu di samping mengelakkan diri jadi nyanyuk,” kata Tadashi Ikeda sambil tersenyum.

Tadashi, 70, merupakan pembentang dari Jepun yang hadir di Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (Pulara).

Datuk kepada dua orang cucu itu berkata, dia menjadikan pembelajaran bahasa Melayu sebagai hobi di waktu senggang setelah bersara sebagai pekerja kawalan trafik udara di negara kelahirannya.

“Sudah lebih lima tahun saya menetap di Kuala Lumpur dan bagi saya, negara ini adalah yang paling menarik di Asia Tenggara.

“Keadaan politiknya stabil di samping ekonomi yang baik serta tak lupa makanan yang sedap,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh dari hadirin di majlis penutup Persidangan Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman Pulara 8 di Kejora Garden Resort di sini, hari ini.

Beliau yang menyampaikan pembentangan bertajuk Bahasa Melayu dan Saya di program itu memberitahu, bahasa Melayu seronok untuk dipelajari disebabkan ada perkataan yang hampir sama dengan bahasa Jepun.

Malah, ujarnya, ia ibarat teka teki yang mencabar minda di kala usianya sudah menjengah 70 tahun.

“Mungkin orang Jepun datang ke Malaysia lebih berminat untuk melakukan hobi lain seperti bermain golf, tetapi bagi saya, ia langsung tidak mencabar keupayaan diri dan merangsang minda untuk elak nyanyuk,” katanya yang begitu fasih berbahasa Melayu.

Tambah Tadashi, ilmu yang diperolehi tentang bahasa Melayu akan digunakan sebaik-baiknya apabila dia pulang ke Jepun dengan harapan dapat membantu rakyat Malaysia yang bertandang ke negara matahari terbit itu.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir ketika ditemui berkata, kesungguhan yang ditunjukkan oleh Tadashi sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat Malaysia.
“Salah seorang pemakalah dari Jepun iaitu Tadashi yang dalam keadaan usia sebegitu masih bersungguh-sungguh untuk belajar bahasa Melayu.

“Walaupun baru tinggal lima tahun di Malaysia, dia berjaya berucap dan menyampaikan pembentangan dengan lancar.

“Kita pun rasa teruja dengan cara penyampaiannya dalam bahasa Melayu, bagi yang belum atau tidak mahu kuasai bahasa Melayu walaupun sebagai orang Malaysia patut rasa malu kepada Tadashi,” ujar Dr.Zambry.