PANGKOR: Pusat sumber sekolah wajar dilengkapi dengan bahan bacaan dan kemudahan terkini bagi menggalakkan budaya membaca di kalangan pelajar.

Meskipun dunia sudah dikuasai oleh kemodenan teknologi, fungsi pusat sumber sekolah kekal relevan dan masih menjadi rujukan utama masyarakat.

Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zuklifli berkata setiap sekolah di negeri ini perlu memastikan pusat sumber sekolah ceria dan berinformasi untuk menarik minat para pelajar.

“Sebagaimana pengalaman saya sebelum ini, perpustakaan sangat dekat di hati saya sewaktu zaman persekolahan.

“Waktu dulunya ramai yang tidak mampu beli buku rujukan atau kamus yang mahal harganya, tetapi dengan adanya pusat sumber di sekolah semua maklumat kita boleh dapatkan.

“Perkara ini yang kita mahu pupuk kembali dalam diri anak-anak dan masyarakat. Sebab itu pusat sumber perlu dijaga dan elakkan suasana suram di dalamnya,” kata Saripah.

Saripah berkata demikian di program Khidmat Bantu Pusat Sumber Sekolah Peringkat Negeri Perak dan Kembara Bakti Guru Perpustakaan dan Media Malaysia di SMK Pangkor, Pulau Pangkor pada Rabu.

Hadir sama, penyelaras BAIDURI, Penolong Kanan Pentadbiran, Ahmad Damanhuri Mansor dan Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak,
Azatus Sakhia Shakir Mashkor.

Program yang berlangsung dari 22 hingga 25 Mac itu berjaya menghimpunkan hampir 60 peserta yang terdiri daripada guru pusat sumber sekolah serata negeri.

Ia merupakan anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak dengan kerjasama komuniti profesional Guru Perpustakaan dan Media Malaysia (GPMM).

Di kesempatan itu, Saripah turut meninjau keadaan semasa di SMK Pangkor sebelum menyampaikan sumbangan berjumlah RM 10,000 khusus untuk kerja naiktaraf pusat sumber sekolah tersebut.

ab2b4406-0f71-4ee2-89c1-0a2c3475e346 75ad6417-56f3-452a-9fd2-76da1377e98a

10adaa1c-b687-4520-83ec-35d33480a7ce