Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegur perbuatan sesetengah individu yang bersikap melulu dalam mengemukakan aduan berkenaan isu pemilikan tanah tanpa proses soal siasat terlebih dahulu.

Katanya, kegagalan membuat pemeriksaan terperinci dan tindakan melulu menuduh tanpa usul periksa hanya memberikan gambaran negatif terhadap pengurusan kerajaan negeri.

“Saya ingin nasihatkan, bila kes seumpama ini dimainkan, ia menyebabkan orang ramai mempunyai gambaran seolah-olah kerajaan negeri tidak prihatin.

“Sewajarnya, perkara ini ditanya kepada pihak berkuasa terlebih dahulu, atau wakil rakyat di kawasan berkenaan, itulah yang betul,”katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Mesyuarat di Bangunan SUK, di sini petang Rabu.

Jelasnya, beliau berharap pihak terlibat dapat merujuk kepada Pejabat Tanah dan Daerah Pengkalan Hulu untuk memperoleh gambaran dan keadaan sebenar apa yang berlaku.

Semalam, Suara Perak melaporkan dakwaan seorang wanita, Salmiah Abdullah, 37 yang menginginkan penjelasan berkenaan tanah perusahaan arwah ayahnya yang ditebang bagi membuka laluan awam baru di Kampung Pahit, Pengkalan Hulu.

Justeru, satu penjelasan daripada pihak Pejabat Tanah dan Daerah telah mengesahkan bahawa tiada sebarang permohonan geran diterima daripada keluarga berkenaan dan projek pembersihan kawasan itu bertujuan bagi laluan awam bagi menyokong projek pertanian yang mana bakal membawa manfaat kepada penduduk sekitar Pengkalan Hulu.