BAGAN DATUK – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan akan menaikkan elaun anggota dan pegawai Askar Wataniah sebanyak RM2 sejam.

Beliau berkata, kenaikan melibatkan anggota lain-lain pangkat dan pegawai itu dibuat bagi menghargai jasa serta kesetiaan mereka dalam menjalankan tugas sebagai benteng kedua keselamatan negara.

“Elaun dibayar mulai tarikh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengumumkan kenaikan elaun Rela (10 Mac), ertinya mana-mana pegawai yang bertugas sebelum ini harus dibayar penuh mengikut elaun diumumkan.

“Ini saya umumkan bagi pihak Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein),” katanya ketika berucap di hadapan ribuan askar wataniah dalam Program Gelombang Askar Wataniah di sini pada Sabtu.

Pengumuman itu akan menyaksikan elaun untuk anggota lain-lain pangkat dinaikkan daripada RM6 kepada RM8 sejam manakala RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai.

Dalam isu berlainan, beliau memberitahu pembinaan kem Hutan Melintang di daerah Bagan Datuk bukan langkah politik namun lebih kepada strategi pertahanan negara.

Kata beliau, isu keselamatan negara seharusnya diberi keutamaan bersama dan jangan sesekali dipolitikkan.

“Mereka naif, mereka tak tahu ini adalah strategi tentera pertahanan kerana kem terdekat di Sungai Besi dan Subang manakala di sebelah utara kita ada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

“Tapi di tengah-tengah tidak ada, dari segi geo strategiknya Bagan Datuk adalah kawasan yang harus ada kem tentera, ini bukan matlamat politik tetapi ini adalah untuk menterjemahkan strategi pertahanan kita,” ujarnya dalam program sama.