SELINSING – Satu cadangan kertas kerja pemberian elaun khas kepada anggota skuad elit Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dipanggil Storm sedang dirangka bagi memastikan keupayaan dan sumbangan skuad terbabit lebih dihargai.

Timbalan Pengarah JBPM Perak, Penolong Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, cadangan kertas kerja itu kini sedang giat dirangka untuk diteliti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum bakal dibentangkan ke peringkat kabinet dalam masa terdekat.

Menurutnya, cadangan pemberian elaun tugas khas kepada anggota Storm ini amat penting kerana mana-mana anggota berkelayakan perlu melalui pelbagai peringkat ujian saringan sangat ketat sebelum diterima masuk menyertai skuad elit JBPM itu.

“Melalui pelbagai siri latihan dan ujian pelbagai peringkat yang sangat mencabar meliputi ketahanan fizikal, mental dan emosi, mereka yang melepasi ujian terbabit adalah anggota bomba. benar-benar mempunyai kemahiran tertinggi dan bersedia terlibat dengan operasi penyelamatan berskala besar dan di luar kemampuan anggota bomba biasa.

“Jadi, kemudahan elaun ini penting sebagai apresiasi terhadap pencapaian dan pengorbanan mereka untuk dipilih sebagai anggota Storm dan pihak kami juga dijangka akan cuba mendapatkan kemudahan lain bersesuaian keperluan mereka,” katanya kepada media pada majlis perasmian penutup kursus survival pasukan Storm anjuran JBPM di Kuala Gula Sanctuary Resort, di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Orang Besar Jajahan Kerian, Datuk Khairuddin Arshad itu turut dihadiri Komander Pasukan Storm, Pegawai Kanan Bomba I, Ismail Abdul Ghani.

Kursus survival pasukan Storm itu disertai oleh 38 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) berlainan pangkat yang terpilih dari seluruh negara bermula 9 hingga 19 November.

Sementara itu, Ismail menegaskan cadangan pemberian elaun khas kepada anggota Storm disambut baik memandangkan anggota Storm merupakan anggota skuad elit khas JBPM dalam aspek penyelamatan berskala besar.

Menurutnya, bilangan anggota Storm kini mencecah 430 orang dari seluruh negara dan dianggap memiliki keupayaan setaraf pasukan komando askar, namun berkemahiran spesifik dalam bidang penyelamatan untuk kes luar jangkaan.

Sayani (lima, kiri) bergambar kenangan dengan 38 anggota Storm JBPM yang selesai menjalani kursus survival pasukan Storm di Kuala Gula Sanctuary Resort, Selinsing hari ini.

“Kesemua ujian saringan amat ketat perlu dilalui setiap anggota Storm adalah persediaan awal untuk ketahanan fizikal dan mental tatkala dipanggil sertai operasi khas berskala besar.

“Mereka pasukan elit dilatih menangani insiden malapetaka besar tidak dijangka dan skuad elit bomba ini akan menjadi tonggak hadapan dalam menangani kes penyelamatan berskala besar kerana mereka berkeupayaan memberi perkhidmatan di luar kebiasaan anggota bomba kategori biasa,” katanya.

Ismail berkata, ketika ini, JBPM berdepan situasi pengurangan trend penugasan pemadaman api sebanyak 30 peratus berbanding dahulu, namun trend kerja penyelamatan sudah meningkat pada kadar sama.

Menurutnya, trend kerja penyelamatan itu meliputi operasi mencari orang hilang atau tersesat dalam hutan, bukit, gunung atau badan air serta mencari mangsa bencana runtuhan bangunan dan tanah termasuk dua kes runtuhan di Tanjung Bungah dan Paya Terubung, Pulau Pinang pada tahun lalu dan baru-baru ini.

“JBPM memang menyasarkan sekurang-kurangnya 700 anggota bomba akan terbabit dalam pasukan Storm.

“Namun pihak kami masih mengekalkan tahap saringan kelayakan begitu ketat bagi memastikan hanya anggota yang benar-benar berkualiti layak menyertai skuad elit bomba itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Shuid Idris,43, dipilih sebagai peserta keseluruhan terbaik kursus penutup survival pasukan Storm pada siri kali ini.

Kategori peserta survival di paya terbaik dimenangi anggota BBP Pontian, Pegawai Bomba Nimrod Juanito, 23, yang berasal dari Sabah, manakala kategori peserta survival di hutan terbaik pula menjadi milik anggota BBP Bandar Penawar, Emparan Iri, 28, yang berasal dari Sarawak – sinar