IPOH – Empat adik beradik antara 86 orang anak yatim dan penghuni Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam, Kampung Sungai Rapat dan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim/Miskin Darul Hikmah, Sungai Itik, Gopeng yang diraikan dalam satu majlis berbuka puasa.

Majlis yang diberi nama Coca-Cola & Friends Buka Puasa Event itu telah berlangsung dengan meriahnya di Mydin Mall Meru Raya dengan persembahan nyanyian dan tarian dari beberapa penaja utama.

Menurut kakak sulung, Nur Rasidah, 16, mereka yang kehilangan ayah, Abdul Rahman akibat sakit jantung pada tahun 2009, tinggal bersama nenek selepas rumah didiami terbakar sebelum ibu Fatimah Din menyewa di Kuala Kangsar.

“Seingat saya, rumah kami di Gerik terbakar dan lapan hari selepaas kejadian itu ayah saya meninggal dunia. Semasa itu saya berumur tujuh tahun. Oleh kerana mengalami kesusahan hidup, saya dan adik-adik dihantar ke Darussalam.

“Saya gembira tinggal di rumah ini kerana ada ramai kawan dan kami sangat rapat,” ujar beliau yang merupakan anak perempuan tunggal dalam keluarga.

Nur Rasidah dan tiga adiknya, Abdul Razak, Abdul Mutalib dan Abdul Rahim mengambil keputusan untuk terus tinggal di Darussalam kerana mereka sudah selesa dan seronok tinggal bersama-sama keluarga besar.

Beliau berkata, ibunya juga sering melawat mereka dan pada hujung minggu mereka akan balik ke rumah di SP Road.


Pengasas Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam Rohaniah Razali berkata setakat ini pertubuhan tersebut mempunyai seramai 47 orang penghuni yang terdiri daripada anak-anak yatim miskin dan miskin tegar.

Mula beroperasi pada tahun 2007, dengan kemasukan Nur Rasidah, pengambilan penghuni adalah dengan bersyarat pemohon mesti mempunyai sijil mati ayah atau ibu atau kedua-duanya.

“Di Darussalam kita tidak ambil anak-anak dari pasangan suami isteri yang bercerai, cuma anak-anak kematian ibu atau ayah yang miskin. Kebanyakan dari mereka adalah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menghadapi masalah tiada penjaga, kemiskinan dan penderaan,’ ujar beliau.

Pihak pengurusan Darussalam akan menjaga mereka selagi mereka ingin meneruskan pelajaran dan menanggung sepenuhnya pelajaran mereka hingga ke peringkat ijazah di menara gading.

“Oleh kerana mereka ini miskin dan miskin tegar, apa yang boleh merubah nasib mereka ialah ilmu. Jika mereka tidak boleh meneruskan di bidang akademik, kami galakkan mereka belajar bidang kemahiran,” kata Rohaniah yang mesra disapa ibu oleh anak-anak yatim Darussalam.

Sementara itu, seorang penghuni di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim/Miskin Darul Hikmah, Sungai Itik, Gopeng, Mohd Hafiz Mohd Rilzan, 11 tahun, juga gembira apabila diraikan dalam majlis sambutan hari lahir beramai-ramai yang diadakan di majlis sama.

Mohd Hafiz menjadi penghuni di situ bersama seorang adiknya Faris Naim setelah kedua ibu bapa mereka bercerai.

“Kakak saya Fateha kini di Tingkatan Satu tinggal di asrama manakala adik bongsu, Fakhrul Razi,7, tinggal bersama ibu.

“Saya seronok berada di sini kerana pada waktu sahur, ustaz akan kejutkan saya dan kawan-kawan. Saya juga belajar untuk berdikari,” katanya sambil tersenyum.

Program kerjasama antara Coca-Cola Bottlers Malaysia dan Astro ini merupakan kali kedua dianjurkan di Mydin Meru.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bottling Investment Group, Singapore-Malaysia-Brunei Kumpulan Coca-Cola Gareth McGeown, lebih banyak syarikat lain dijemput untuk bekerjasama untuk menjayakan program ini.

“Kami amat berbesar hati sebab tahun ini bukan sahaja Coca-Cola Bottlers Malaysia dan juga Astro bekerjasama, kami ada MBO, Marigold, Lost World of Tambun antara peneraju utama bersama-sama kami pada tahun ini.

“Marrybrown Ipoh Mydin Meru pula menjadi penaja untuk makanan pada tahun ini manakala Mydin Mall Meru Raya menaja lokasi untuk kali kedua berturut,” kata beliau.

Beliau berharap program ini akan berkekalan dan mengalu-alukan syarikat-syarikat lain yang ingin mengambil bahagian untuk tahun-tahun yang akan datang.

“Kami rasa sungguh bertuah berjaya mengadakan satu program yang murni untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik memandangkan bulan Ramadan ini ialah masa untuk keluarga bertemu, komuniti berkumpul dan kami mendapat satu peluang untuk memberi semula kepada mereka yang kurang bernasib baik,” kata McGeown.

1/2