KAMPAR: Empat lelaki bersaudara didakwa di Mahkamah Majistret di sini pagi ini atas tuduhan mengedar dadah jenis “methamphetamine” seberat 14,590 gram.

Kalitazan@Nur Azan Abdullah, 43, B. Kalidass, 40, R. Elango, 29, dan R.Viknesswara, 28, dituduh mengedar dadah itu di bangsal pertama tapak tanah lombong kosong Jeram Mukim Kampar 1/2 km Gua Tempurung pada 13 Mac lalu jam 2.00 petang.

Keempat tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan menetapkan 8 Mei ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Azriah Zaid manakala empat tertuduh dibela peguam Sukhdave Singh.