TAPAH 22 Feb. – Empat individu termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun cedera ringan selepas rumah mereka dihempap sebatang pokok kelapa di Kampung Jawa Batu Masjid dekat Temoh, malam tadi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Mohd Saiful Hanif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.51 malam.

Beliau berkata, setibanya jentera di tempat kejadian, rumah tersebut didapati telah dihempap pokok tumbang dan ia melibatkan lima orang mangsa.

“Seorang lelaki dewasa tidak mengalami kecederaan sementara seorang wanita dewasa cedera ringan pada bahagian kaki.

“Tiga lagi mangsa perempuan yang berusia 13 tahun, 10 tahun dan dua tahun setengah juga mengalami cedera ringan. Kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya di sini.

Mohd Saiful berkata, anggota bomba terlibat telah memotong pokok tersebut dengan menggunakan dua unit gegaji berantai.

Tambah beliau, operasi sepenuhnya selesai pada pukul 9.07 malam. – UTUSAN ONLINE