IPOH: Kerajaan negeri Perak akan menyediakan pelan induk khas untuk meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Perak, YB Tan Kar Hing berkata, pelan induk itu akan menekankan kepada empat fokus utama.

Menurut beliau, empat fokus itu ialah kreatif tourism, kepelbagaian, identiti dan kelestarian alam sekitar.

“Saya bercadang untuk berjumpa dengan pemain industri minggu depan untuk membincangkan mengenai perkara ini,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Media di Heritage Hotel, di sini, malam ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Zuraida Md Taib dan Pengurus Besar PORT, Zamari Muhyi dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Odzman Kadir.

Menurut YB Tan, bagi langkah jangka pendek, beliau akan membentangkan tiga langkah kepada mesyuarat Exco dalam masa terdekat.

Katanya, tiga langkah itu ialah mengkaji semula semua kemudahan dan ifrastruktur, memantau tahap perkhidmatan dan mengumpul semula produk pelancongan untuk merangka pakej yang sesuai.

Beliau menambah, sebenarnya Perak masih mempunyai banyak produk yang belum dibangunkan lagi dan pihaknya akan melakukannya.

“Kita akan bekerja keras dalam lima tahun akan datang untuk meningkatkan lagi pelancongan, keseniaan dan kebudayaan Perak ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada media dan pemain industri di negeri ini yang telah banyak membantu pelancongan di Perak.