IPOH: Empat isu utama dikenalpasti menjadi cabaran di dalam industri akuakultur di negeri Perak, khususnya di Daerah Kerian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, empat isu itu ialah keadaan cuaca atau fenomena alam pada 2016, kekurangan benih semulajadi, penyakit udang putih (EMS) dan harga pasaran ikan hiasan.

Menurut beliau, fenomena El-Nino pada 2016 telah menyebabkan kematian kerang di Kerian manakala pengurangan air di Tasik Bukit Merah telah mengurangkan kadar pembiakan anak ikan kelisa.

Menjawab soalan lisan Abdul Yunus Jamahri (PKR – Kuala Kurau), Saarani memberitahu, pasaran ikan kelisa dan arowana yang tertumpu kepada pasaran negara China telah mengalami zaman kemerosotan kerana harga pasaran telah merudum begitu ketara.

Menjawab soalan tambahan Datuk Sham Mat Sahat (BN – Alor Pongsu) kemudiannya, beliau memberitahu, Jabatan Perikanan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah berusaha keras untuk mencari pasaran baru bagi ikan arowana dan kelisa.

“Antara pasaran baru itu ialah Jepun dan Taiwan,” tambah beliau.

Saarani berkata, negeri Perak merupakan penyumbang terbesar industri akuakultur dan merupakan pengeluar utama hasil akuakultur negara, khususnya udang laut, ikan hiasan dan kerang.

Bagaimanapun, kata beliau, pengeluaran dari industri itu menurun dari 2014 hingga 2016, tetapi mencatatkan peningkatan dari segi nilai.

Beliau menambah, pada tahun 2014, jumlah pengeluaran adalah sebanyak 56,778.63 tan metrik dengan nilai RM399.25 juta, merosot kepada 55,410.94 tan metrik dengan nilai RM508.36 juta dan pada 2016 pula 55,693.25 metrik tan yang bernilai RM561.76 juta.

Menurut Saarani, industri akuakultur daerah Kerian telah memberi sumbangan kepada ekonomi rakyat dan negeri seperti kutipan hasil secara langsung diperolehi dalam bentuk lesen menduduki sementara (TOL) dan lesen sistem kultur laut.

“Kutipan secara langsung melibatkan oleh pejabat daerah dan tanah pada kadar 60 sen semester persegi bagi pengusaha menggunakan sangkar, RM100 sehektar bagi kerang dan kolam kadar pula bergantung kepada kadar premium,” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan Abdul Yunus yang meminta jaminan tiada lagi pencerobohan kawasan paya bakau di pesisir sungai atau laut bagi tujuan akuakultur, Saarani berkata, polisi kerajaan begitu jelas, tidak ada sebarang penerokaan haram dibenarkan.