KOTA BHARU: Niat seorang bapa mencari rezeki di bulan Ramadan dengan menjual air tebu bertukar tragedi, apabila dia kehilangan empat jari yang terperosok di dalam mesin tebu dalam kejadian di Kampung Dewan Beta, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu menyebabkan empat jari kanan Osman Ya, 50, hancur selepas tangannya termasuk ke dalam mesin tebu itu.

Katanya, kejadian itu berlaku selepas bapa kepada lima anak itu sedang membersihkan hampas tebu yang terlekat di celah mesin tanpa menutup terlebih dahulu suis mesin berkenaan.

“Ketika itu saya sudah menutup kedai dan dalam memproses cuci mesin. Tapi apakan daya benda nak berlaku kerana saya lupa untuk tutup suis mesin.

“Masa saya tengah bersih mesin tu, dengan pantas tangan saya ditarik ke dalam mesin, digilis macam batang tebu cuma saya sempat tutup suis dan menjerit panggil anak untuk mengeluarkan tangan kanan yang sudah hancur.

“Sudah enam tahun saya menjual air tebu dan sentiasa berhati-hati, namun siapa sangka kali ini saya terlalai menyebabkan empat jari hilang,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, di sini, hari ini.

Osman berkata, kejadian itu disaksikan anak ketiga dan bongsunya, Mohd Syahmi Osman,16, dan Mohd Shakir Imran, 10, yang membantunya berniaga air tebu.

“Ketika digilis, saya cuma rasa kebas dan balut tangan dengan kain sebelum meminta penduduk bawa ke Klinik Lundang Paku. Beberapa hari lalu, saya baru saja membaiki mesin tebu itu bagi membolehkan mesin itu memerah lebih banyak air dengan kos hampir RM500.

“Bagaimanapun saya syukur kerana tidak panik dan sempat matikan suis bagi mengelakkan tangan terus digilis dan hanya bahagian tapak tangan yang cedera,” katanya yang bekerja kampung menanam padi dan memelihara lembu bagi menyara isteri, Romah Dollah, 52 dan lima anak berusia antara 21 hingga 10 tahun.

Sementara itu, anak sulungnya, Noor Nazirah Osman, 21, berkata, sebaik mengetahui kejadian yang menimpa ayahnya, dia terus pulang ke kampung kerana sedang belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dalam di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka.

Katanya, menurut doktor yang merawat bapanya, semua urat jari bapanya sudah terputus dan tidak boleh disambung kembali.

“Sekarang ayah banyak bertahan dengan ubat tahan sakit dan akan jalani pembedahan menampung kulit tapak tangan dengan mengambil kulit paha dalam masa terdekat,” katanya – Berita harian