GUNUNG SEMANGGOL– Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) sedang merangka cadangan untuk meletakkan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) di kedua-dua laluan lebuhraya di Terowong Menora yang sinonim dengan kawasan kemalangan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Sri Shaharuddin Khalid berkata, perbincangan tentang kesesuaian lokasi kamera dengan had kelajuan tidak melebihi 80 kilometer sejam itu akan ditentukan bersama jawatankuasa khas dan pihak PLUS.

“Selepas kita buat operasi Tahun Baharu Cina, kita akan buat lawatan tapak dulu, kemungkinan kita akan pasang empat kamera, dua kamera bagi dua-dua hala (arah utara dan selatan) dan had kelajuan tidak lebih 80 kilometer sejam.

“Ini kawasan yang sering berlaku kemalangan, kita akan bincang dengan pihak PLUS dan bawa agensi lain termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), untuk menentukan di mana kamera itu sesuai diletakkan.

“Saya sebagai penguatkuasa hanya mencadangkan, namun jawatankuasa khas yang tentukan tempat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Jabatan Pengangkutan Jalan di Rehat dan Rawat Gunung Semanggol (arah selatan) pada Jumaat.

Sementara itu, ketika mengulas tentang cadangan meletakkan kamera had laju di Jambatan Pulau Pinang, beliau berkata ia masih dalam perbincangan dengan pihak PLUS.

“Jambatan Pulau Pinang kita masih dalam perbincangan dengan PLUS kerana setakat ini kamera tidak diaktifkan di sana, mungkin kita akan ambil tindakan sewajarnya,”katanya lagi.

Katanya lagi, semua rakaman 17 kamera Awas di bawah kendalian JPJ kini hanya merekodkan had kelajuan 110 kilometer sejam, akan datang akan ada hanya kamera tidak melebihi 80 kilometer sejam iaitu di Terowong Menora.

Sementara itu, katanya operasi penguatkuasaan sempena musim peramberita rayaan Tahun Baru Cina 2019 akan berjalan selama dua minggu iaitu dari 29 Januari hingga 12 Februari 2019.