IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands sedang mengambil langkah memantau empat kawasan yang berisiko tinggi berlakunya kejadian tanah runtuh pada musim hujan ketika ini.

Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Cameron Highland, Muhamad Haziq Hazmi, empat kawasan terbabit ialah Tanah Rata, Terisu di Mukim Brincang, kawasan Kampung Teringkap dan Lembah Bertam.

Katanya, seramai 29 anggota bomba dan penyelamat diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan memantau empat kawasan itu bagi mengesan sebarang punca yang boleh mengundang berlakunya kejadian tanah runtuh.

Beliau berkata, kejadian tanah runtuh yang melibatkan Rumah Peranginan Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang dikenali `The Sharples’ di Tanah Rata pada jam 3.11 petang semalam merupakan kes terbaru yang berjaya ditangani pihak bomba setelah mengarahkan 13 penghuni mengosongkan bangunan berkenaan.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setelah bomba bertindak pantas mengarahkan 13 penghuni rumah peranginan itu supaya mengosongkan bangunan berkenaan kerana dikhuatiri berlaku tanah runtuh kali kedua,’’ katanya kepada Suara Perak pada Isnin.

Muhamad Haziq berkata, kesemua 13 penghuni terbabit telah berpindah ke rumah transit lain milik TNB.

Beliau memberitahu, pihak Jabatan Kerja Raya sedang menjalankan kerja-kerja membaiki cerun di kawasan rumah peranginan itu.

Mengenai insiden pokok tumbang petang semalam yang menghalang laluan pengguna Jalan Tapah-Tanah Rata berhampiran Bharat Tea, katanya, keadaan sudah kembali pulih setelah bomba dan pihak JKR menjalankan kerja-kerja pembersihan di laluan berkenaan.