IPOH: kerajaan negeri Perak juga mempunyai produk Pengembaraan dan Alam Semulajadi serta Eko pelancongan yang unik dan berpotensi besar untuk menjana ekonomi hiliran.

Oleh demikian, strategi dan agenda untuk mengklusterkan produk eko pelancongan terbahagi kepada 4 kawasan cluster di Negeri Perak dengan usahasama Kerajaan Negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Kerajaan negeri, Tan Kar Hing berkata, empat kluster itu ialah:-

1. Taiping – Batu Kurau – Bukit Merah – Kuala Sepetang
2. Ulu Geroh – Gua Tempurung – Gopeng – Batu Gajah
3. Royal Belum – Lenggong – Kuala Kangsar
4. Pulau Sembilan – Teluk Senangin – Segari – Melintang

“Kerajaan negeri melalui Tourism Perak dan Tourism Malaysia sentiasa mengemaskini dan memastikan produk-produk pelancongan sedia ada dan yang berpotensi untuk dipertengahkan di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya ketika menjawab soalan lisan Mohd Akmal Kamarudin (Pas – Selama) di sidang Dewan Undangan Negeri Perak, hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan data statistik yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Perak masih mengungguli di tangga kedua dengan jumlah kedatangan pelancong domestic selama tiga tahun iaitu 2015 hingga 2017.

Katanya, bagi tahun 2017, statistik merekodkan sebanyak 7.6 juta pelancong domestik iaitu peningkatan sebanyak 5.5% berbanding tahun 2016. Kerajaan Negeri menjangkakan peningkatan sebanyak 6% bagi tahun 2018.

“Namun begitu, statistik kemasukan para pelancong bagi tahun 2018 tidak dapat dikemukakan oleh kerana laporan ini hanya boleh dijanakan pada pertengah tahun berikut iaitu pada Jun 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia selaku pihak berwajib untuk mengumumkan dan mengeluarkan laporan ini,” ujarnya.

Kar Hing memberitahu, kerajaan negeri juga akan melaksanakan beberapa rancangan bagi merancakkan lagi kedatangan pelancong-pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini.

1. Pendedahan produk pelancongan lokal kepada media dan agensi pelancongan melalui fam trip Negeri Perak ke Indonesia, Filipina, Thailand, Jepun dan negara lain.

2. Misi Jualan Domestik melibatkan penggiat industry pelancongan Perak di Bangkok, Medan dan Guang Zhou telah dilaksanakan dalam tempoh 3 bulan kebelakangan ini.

3. Penganjuran aktiviti peringkat negeri dan antarabangsar seperti Ipoh International Fashion Week (IIFW 2018), program SAMA-SAMA, menjelang bulan menyambut hari kebangsaan, Ipoh International Run, Festival Kesenian Negeri Perak dan lain lagi.

4. Pameran pelancongan di MATTA Fair pada bulan Mac dan September 2018 dan juga MITA Fair. Ini juga termasuk mempromosikan pakej-pakej SUKMA, MAPS, Pakej Pembangunan Kuala Kangsar & Tanjung Malim dan lain-lain lagi.

5. Promosi melalui media cetak diantaranya Gaya Travel, Majalah Santai dan melalui platform media sosial seperti website, Facebook, Instagram serta pelaksanaan medium LokaLokal yang membantu mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan di Negeri perak serta produk-produk tempatan.

6. Kerjasama pintar melibatkan Badan Korporat dan Agensi Kerajaan serta Swasta dalam mempromosikan produk pelancongan Negeri Perak diantaranya AirAsia, KTMB, Malaysian Airlines.