Subscribe Now

Trending News

Empat Kematian Akibat Denggi Di Perak
Dalam Negeri

Empat Kematian Akibat Denggi Di Perak 

IPOH  – Sebanyak empat kematian akibat demam denggi direkodkan sejak Januari hingga Sabtu lalu, di negeri ini berbanding tiada kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. B. Venugopalan berkata, jumlah kumulatif kes yang dilaporkan daripada 1 Januari sehingga 11 Februari lalu adalah sebanyak 823 berbanding 728 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 95 kes atau 13.0 peratus.

“Dalam tempoh itu, sebanyak 60 lokaliti wabak denggi dilaporkan selain sembilan kawasan panas dikenal pasti iaitu lapan kawasan di daerah Kinta dan satu di Larut Matang dan Selama,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, aktiviti pencegahan dan kawalan denggi giat dijalankan oleh Jabatan Kesihatan bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain bagi mengekang penularan wabak tersebut terutama di daerah Kinta.

Katanya, sepanjang minggu ke enam, sebanyak 9,615 premis te­lah diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 182 premis didapati positif.

“Masyarakat diingatkan agar sentiasa membersihkan kawasan sekitar rumah dan meluangkan masa setiap minggu untuk aktiviti cari dan musnah tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes,” kata­nya.

-Utusan

Related posts