IPOH: Malang tidak berbau buat empat buah kereta yang dihempap pokok tumbang berikutan hujan ribut di kawasan parkir belakang Hotel Weil di sini pada petang Isnin.

Mujur, tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian sekitar 4 petang itu.

Ketua Balai Bomba Simpang Pulai,Pegawai Bomba Kanan II Mohammad Norman berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 4.10 petang dan bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di sana, kami mendapati pokok bersaiz besar berkenaan telah tumbang dan menghempap empat buah kereta yang diletakkan di kawasan parkir itu.

“Kejadian tersebut bukan tanah runtuh dan buat masa ini,operasi pemotongan pokok sedang dijalankan,” katanya lagi.

Sementara itu, sebatang pokok turut tumbang berhadapan dengan Hotel Impiana berikutan hujan lebat yang bermula sekitar 2 petang itu.

Kejadian itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang Jalan Raja Dr Nazrin Shah sehingga ke kawasan pekan Ipoh.