KUALA LUMPUR : Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keempat-empat kes yang disyaki menghidapi koronavirus pernah berada di Wuhan, China sebelum ini.

Menurut beliau, kes pertama yang direkodkan ke atas seorang kanak-kanak lelaki warga negara Jordan berusia 5 tahun yang bercuti bersama ibu bapanya di Sabah.

Menurut maklumat yang diterima kementerian, ibu bapa pesakit itu merupakan penuntut PhD di Universiti Hua Zhong, Wuhan.

“Beliau telah menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

“Keputusan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019-nCoV adalah negatif,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, kes kedua berlaku kepada seorang lelaki warga negara Malaysia berusia 30 tahun di Selangor.

Beliau juga mempunyai sejarah melawat China, baru-baru ini.

Pesakit telah menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dan keputusan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019-nCoV juga negatif.

“Kes ketiga adalah seorang wanita warga negara Malaysia berusia 24 tahun dengan sejarah perjalanan ke China.

“Beliau menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh. Keputusan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019-nCoV juga adalah negatif,” katanya lagi.

Bagi pesakit keempat, seorang warganegara China telah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Remaja lelaki warga negara China berusia 16 tahun itu bercuti bersama keluarga di Sabah.

Rekod rawatan juga mendapati beliau negatif koronavirus dan sedang mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette