IPOH: Empat warga Malaysia yang mempunyai kontak rapat dengan seorang warga Singapura yang positif Novel Koronavirus (2019-nCoV), disahkan negatif virus tersebut.

Mereka berjaya dikesan dan tiada seorang pun yang mengalami gejala jangkitan salur pernafasan.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, kesemua mereka telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk disaring dan sampel klinikal telah diambil bagi ujian pengesahan.

“Ujian pengesahan yang dijalankan menunjukkan keempat-empat kontak rapat ini adalah negatif 2019-nCoV.

“Kesemua kontak rapat ini telah diletakan di bawah perintah pemerhatian dan pengawasan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengambil maklum berkenaan berita yang tular di media sosial mengenai kontak rapat kepada kes jangkitan 2019-nCoV di Singapura yang dikatakan berada di Pusing, Perak.

Seorang warga Singapura telah disahkan positif 2019-nCoV melalui ujian makmal pada 8 Februari 2020 di Singapura.

Pihak Singapore IHR Focal Point kemudiannya memaklumkan terdapat empat orang warganegara Malaysia tersenarai di dalam kontak rapat kes berkenaan semasa dia berada di Malaysia dari 23 Januari hingga 2 Februari lalu.

Menurut Lay Ming, aktiviti pengesanan kontak rapat merupakan salah satu aktiviti pencegahan dan kawalan yang dijalankan bagi memastikan penularan penyakit berjangkit dapat dibendung.

“Kontak-kontak rapat yang dikesan terdiri daripada mereka yang berhubung rapat dengan kes yang disahkan positif.

“Ini adalah mereka yang mempunyai kontak rapat dalam lingkungan satu meter dengan kes positif 2019-nCoV seperti anggota kesihatan yang merawat kes tanpa memakai Personal Protective Equipment (PPE) yang disarankan dan tinggal dalam satu rumah yang sama,” ujarnya.

Beliau memberitahu kontak rapat itu akan dikenal pasti oleh anggota kesihatan KKM semasa siasatan dijalankan.

Beliau menyeru orang awam untuk sentiasa memberi kerjasama semasa siasatan bagi memastikan aktiviti itu dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan mengikut nasihat yang disarankan oleh pihak KKM.

“Oleh yang demikian, pihak JKN Perak ingin memaklumkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan sedang dan telah dijalankan, dan orang awam akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Orang ramai yang memerlukan penerangan mengenai penyakit itu atau ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung sesuatu kejadian penyakit, hubungilah hotline di CPRC Perak di talian berikut: 05-2433962 atau emel: cprcprk@moh.gov.my