JOHOR BAHRU : Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menyerang Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bulan lepas.

Keempat-empat tertuduh, Norhanizam Ithnain, 38, Mohd Iskandar Masindra Rasidi, 37, Mohd Iskandar Afiq Razak, 26, dan Ezzul Emran Abdul Rahim, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman.

Norhanizam difahamkan merupakan seorang pengimpal di sebuah bengkel, Mohd Iskandar Masindra dan Ezzul Emran masing-masing merupakan peniaga manakala Mohd Iskandar Afiq pekerja kedai serbaneka.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyerang Syed Saddiq dengan niat untuk menjatuhkan kehormatan menteri itu di tapak perkhemahan Savannah Hill Resort, Ulu Tiram pada 9.30 malam, 31 Jan lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 355 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Faizal Noorhadi mencadangkan wang jaminan RM15,000 kepada setiap tertuduh mengambil kira kejadian tersebut membabitkan seorang menteri yang juga wakil rakyat.

Bagaimanapun peguam Izzat Muhtar yang mewakili semua tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan semua anak guamnya memberi kerjasama kepada polis sepanjang siasatan.

Zaki membenarkan semua tertuduh masing-masing diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam pada setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 15 Mac untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Chan Choon Yew manakala prosiding turut dihadiri peguam pemerhati daripada PPBM, Shufri Samad.

Pada 31 Jan lepas, Syed Saddiq yang juga ketua Pemuda PPBM mendakwa sekumpulan lelaki bertindak menyerang beliau ketika menghadiri Majlis Rapat Umum Pemuda PPBM Johor di Ulu Tiram. -BERNAMA