TAPAH – Empat lelaki tempatan berjaya ditahan polis di Kampung Poh dekat Bidor, kurang 20 minit selepas dipercayai melakukan tiga kes samun bersenjata di sekitar kawasan Tapah dan Bidor, semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah ACP Som Sak Din Keliaw berkata pihaknya menahan kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 39 tahun itu kira-kira pukul 3.30 petang hasil maklumat awam.

Katanya dalam kejadian pertama, kesemua suspek yang bersenjatakan parang memecah masuk sebuah rumah untuk menyamun seorang lelaki berusia 32 tahun di Rumah Murah Bidor kira-kira 9.50 pagi.

“Suspek berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM19,000, lima utas jam tangan pelbagai jenama, dua bentuk cincin emas, 100 dolar Singapura serta sebuah kereta jenis Honda City.

“Pada pukul 1.05 tengah hari, kesemua suspek memecah masuk sebuah rumah di Taman Air Kuning Jaya di sini dan melarikan wang tunai berjumlah RM600 dan 1000 dolar Singapura selepas mengugut seorang wanita warga emas berumur 66 tahun dengan menggunakan parang ,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di sini pada Khamis.

Som Sak yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menyerahkan tugas kepada Supt Wan Azharuddin Wan Ismail dengan disaksikan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan.

Ujarnya kesemua suspek kemudiannya menyamun sebuah klinik desa di Kampung Poh, Bidor pada pukul 3.10 petang, lalu melarikan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa milik seorang jururawat klinik tersebut.

Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek yang berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor itu positif methamphetamine dan polis masih mengesan dua lagi suspek yang terlibat dengan kes jenayah berkenaan.

Katanya tiga daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, curi kenderaan, pecah rumah selain dua suspek pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat.

“Polis merampas Perodua Kelisa yang dicuri suspek, 12 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM6,585, empat gelang tangan serta sebelas buah telefon bimbit pelbagai jenama.

“Polis berjaya menemui kereta Honda City yang dilaporkan hilang di Selayang, Selangor dalam keadaan hangus terbakar di Kampung Koh. Kereta itu dipercayai digunakan suspek

dan telah dibakar oleh mereka sendiri bagi melupuskan keterangan,” katanya.

Menurutnya kesemua suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

Som Sak berkata dengan tertangkapnya kesemua suspek tersebut, polis berjaya menyelesaikan empat kes samun dan satu kes pecah rumah di daerah berkenaan.