KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 10 dulang barang kemas yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta dilarikan dari sebuah kedai emas dalam pasar raya besar di Rawang, dekat sini pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Tey Kong Seng berkata dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, empat lelaki bersenjatakan pistol, parang dan tukul menyerbu masuk ke kedai berkenaan yang terletak di tingkat satu sebelum melarikan diri.

“Dua lagi suspek bertindak menunggu di tempat letak kenderaan dan kesemua suspek memakai topi keledar serta berpakaian hitam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata dalam kejadian itu, tiada pekerja ataupun orang awam yang mengalami sebarang kecederaan dan usaha mengesan kesemua suspek masih dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata, katanya.

— BERNAMA