JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Jalan Bukit Kempas 1/6, Taman Bukit Kempas, malam tadi, bagi membantu siasatan kes samun dan curi kenderaan.

Susulan itu, polis menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes sama, selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Kempas Baru, Tampoi, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata dalam serbuan pertama jam 8.30 malam itu, polis merampas pelbagai barang dan kereta curi, di rumah berkenaan yang dijadikan stor simpanan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Terdahulu, katanya, satu pasukan khas ditubuhkan serta membuat intipan ke atas tiga lelaki dan seorang wanita yang sering berada di rumah itu sebaik menerima maklumat mengenai kes pecah rumah di kawasan berhampiran.

“Ketika menghampiri wanita berkenaan di pekarangan rumah ini, dia cuba melarikan diri ke dalam sebuah Nissan Almera namun berjaya ditahan.

“Menyedari kehadiran polis, dua lelaki yang berada di tempat kejadian cuba lari ke dalam PROTON Wira namun lelaki itu juga dapat ditahan. Seorang lagi lelaki lain bagaimanapun lolos.

“Pemeriksaan ke atas seorang suspek lelaki berusia 48 tahun dan beg silang pada badannya membawa kepada penemuan sejumlah besar wang tunai dan sekeping lesen memandu miliknya.

“Turut dirampas daripada suspek ialah barang kemas dan jam tangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Taib berkata, pemeriksaan tubuh seorang lagi suspek lelaki berusia 44 tahun tidak menemui apa-apa barang.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan beg silang bertulis Imigresen Malaysia pada suspek wanita berusia 30 tahun menemui tiga kad keahlian, satu kad pengenalan dan satu lesen memandu milik suspek lelaki yang berjaya melarikan diri.

Katanya, hasil semakan mendapati PROTON Wira yang dinaiki kedua-dua suspek lelaki itu dilaporkan hilang di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) di sini.

“Pemeriksaan di dalam kereta dan rumah membawa kepada penemuan pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

“Turut ditemui, satu beg galas mengandungi satu lesen memandu atas nama seorang individu dan hasil siasatan mendapati, ia bersabit kes samun berkumpulan di Kulai.

“Kami juga menemui pelbagai jenis beg tangan dan beg duit bersama mata wang China sebanyak 40 Yuan,” katanya.

Mohd Taib berkata, semakan kad pengenalan milik ketiga-tiga suspek mendapati hanya suspek wanita mempunyai rekod dikehendaki polis bersabit kes dadah.

Susulan tangkapan ketiga-tiga suspek itu, Mohd Taib berkata, polis menyerbu rumah di Kampung Kempas Baru, jam 2.30 pagi tadi dan menahan dua lelaki berusia 43 dan 41 tahun.

“Kami turut merampas sebuah PROTON Iswara di kawasan berhampiran bagi membantu siasatan. Hasil semakan mendapati, suspek lelaki berusia 41 tahun itu ada rekod bersabit kes dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379A KK, Seksyen 395/397 KK dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 – berita harian