IPOH: Empat majlis daerah di Perak bakal dinaiktaraf kepada perbandaran mulai tahun 2020 kerana telah mampu mencapai kriteria yang ditetapkan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim, antara majlis daerah yang terpilih ialah Majlis Daerah Batu Gajah, Majlis Daerah Kampar, Majlis Daerah Kerian dan Majlis Daerah Tanjung Malim.

Beliau berkata, adalah agak sukar sesebuah majlis daerah memenuhi kriteria untuk dinaiktaraf kerana ia turut bergantung kepada kebolehannya menarik pelaburan dan pelancongan.

“Sudah ada perancangan projek strategic, contohnya di Batu Gajah dengan Tasik Amanjaya, Kerian dengan projek perumahan di Lembah Beriah di bawah PKNP, Kampar dengan T-City dan Tanjung Malim yang telah diisytiharkan sebagai Bandar Universiti dan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu) berkenaan kesukaran baki sepuluh lagi majlis daerah di Perak untuk memenuhi kriteria ditetapkan, sekaligus membantutkan usaha bertukar status kepada perbandaran.

Jelas Rusnah, antara kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ialah majlis daerah itu merupakan bandar utama atau pusat pentadbiran negeri atau daerah dan mempunyai penduduk tidak kurang daripada 150,000 orang.

“Selain itu, mempunyai sumber kewangan mapan dengan hasil tahunan tidak kurang dari RM20 juta, ada kegiatan perindustrian, perniagaan dan pelancongan serta perumahan.

“Berupaya menyediakan ruang dan peluang kepada para peniaga di samping pertumbuhan pelaburan dan komersil serta kemudahan infrastruktur yang memuaskan dengan sistem lebuhraya yang cekap,” ujarnya.

Rusnah menambah, penaiktarafan kepada perbandaran tidak hanya merujuk kepada hasil atau pendapatan majlis daerah, tetapi turut merangkumi perkara yang telah dinyatakan.