IPOH: EMPAT maut apabila motosikal yang ditunggang bergesel sesama sendiri dalam kemalangan di Kilometer 278.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 5.36 pagi dan segera beergegas ke lokasi kejadian.

Jelasnya,insiden berkenaan melibatkan lima individu di mana empat daripadanya adalah penunggang dan pembonceng motosikal manakala seorang lagi pemandu kereta jenis Proton Iswara.

“Siasatan awal daripada saksi pemandu Proton Iswara mendapati kedua-dua penunggang motosikal tersebut sedang dari Simpang Pulai menghala ke Ipoh melalui lorong kiri, Lebuhraya Utara Selatan.

“Semasa konvoi berjalan, kedua-dua motosikal ini telah bergesel sesama sendiri dalam kelajuan tinggi dan kedua-dua motosikal terbabas.

“Kedua motosikal tersebut kemudian melanggar Proton Iswara yang berada di hadapan mereka, sebelum salah satu motosikal melambung hingga jatuh ke jalan kecil di tepi lebuh raya,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Mohd Ali berkata, penunggang motosikal yang maut di lokasi kejadian dikenali sebagai Rafiq Hafizi Rahimi, 21 tahun dan Mohamad Syarif Mohamad Said, 30 tahun.

Manakala pembonceng yang maut adalah Muhsin Mohamad Wazer, 23 tahun dan Mohamad Hafiz Jabon, 33 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan bedah siasat sedang dilaksanakan dengan segera.