GERIK: Empat maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 45, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik-Jeli di sini hari ini.

Kemalangan melibatkan kenderaan jenis Audi, Perodua Kenari dan pacuan empat roda Isuzu D-Max itu juga turut menyebabkan dua mangsa cedera parah dan empat lagi cedera ringan.

Ketua operasi dari Bomba dan Penyelamat Gerik, PBK II Mohd Nizam Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 12.56 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Terdapat seramai 10 orang mangsa keseluruhannya, empat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, dua cedera parah dan empat mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi.

Operasi menyelamat masih sedang giat dijalankan.

Difahamkan kenderaan Isuzu D-max dan Kenari berkenaan dalam perjalanan dari arah Gerik dan Jeli manakala Audi pula dari arah bertentangan.