IPOH – Empat murid sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJK) (C) di Gopeng disahkan dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Maklumat awal menyebut, mangsa terdiri daripada seorang murid lelaki Tahun Satu dan tiga murid perempuan prasekolah.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri Perak, A Sivanesan berkata, kesemua mereka dilaporkan mula menunjukkan tanda awal HFMD antara 3 hingga 7 Ogos lalu.

Bagaimanapun menurutnya, tiada mana-mana mangsa yang dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Mereka kini dikuarantin di rumah masing-masing, keadaan dalam sekolah adalah terkawal.

“Kes ini juga berada dalam pemantauan rapi Jabatan Kesihatan, hari ini satu taklimat diadakan bersama ibu bapa untuk menerangkan langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelak wabak menular,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, laporan awal menyebut, terdapat lapan murid menunjukkan tanda dijangkiti, namun hanya empat yang disahkan HFMD.

“Pemeriksaan lanjut masih lagi dilakukan jabatan bagi mengesan kemungkinan-kemungkinan lain,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, dua mangsa masing-masing murid lelaki Tahun Satu belum disahkan HFMD, namun dikuarantin di rumah atas nasihat doktor.

Sementara dua lagi melibatkan murid perempuan Tahun Satu dan murid lelaki prasekolah telah pulih serta kembali mengikuti sesi pembelajaran di sekolah – sinar