LUMUT – Empat nelayan warga Indonesia yang diselamatkan selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Jarak di sini Isnin lalu, diserahkan kepada pihak kedutaan negara itu hari ini.

Empat nelayan yang dikenali sebagai Ariffin, 34, Sulaiman, Bangkit dan Baharuddin yang masing-masing berumur 38 tahun diselamatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setelah mereka hanyut ke perairan negara ini.

Menurut Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) keempat-empat nelayan berkenaan kemudian diserahkan oleh TLDM kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

“Pegawai Pemerintah Kapal Maritim Marlin, Lt Kdr Mohd Fahimi Omar menyerahkan semua nelayan itu kepada wakil kedutaan Indonesia, Shabda Tian dan Gustav Wahyudi di Pejabat Maritim Negeri di sini.

“Keempat-empat orang nelayan berasal dari Tanjung Balai, Asahan dan mereka keluar melakukan aktiviti penangkapan ikan di kawasan perairan Panipahan, Indonesia,” demikian menurut kenyataan Maritim Malaysia.

Menurut kenyataan itu, bot nelayan terbabit mengalami kerosakan selama lima hari empat malam di tengah laut sebelum hanyut memasuki perairan negara.

Beliau berkata kesemua nelayan terbabit diberikan rawatan sewajarnya dan berada dalam keadaan baik. – Bernama