KUALA KANGSAR – Empat penuntut Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) ditahan selepas terlibat dalam penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Taman Chandan Puteri, semalam.

Serbuan pada jam 4 pagi oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar itu turut menahan seorang penganggur.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, kesemua lelaki berusia 21 hingga 24 tahun itu ditahan bersama 1.29 gram kanabis.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas bekas plastik berisi cebisan daun kering disyaki kanabis, botol plastik diubah suai yang dijadikan alat menghisap dadah dan alat pengisar di atas lantai dalam sebuah bilik.

“Bagaimanapun, hanya seorang pelajar dan penganggur terbabit positif dadah jenis ganja menerusi ujian saringan dadah,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 – sinar harian