KUCHING: Empat pemancing yang terdampar di Pulau Talang-Talang Besar di Sematan selepas bot mereka karam dipukul ombak kuat tengah hari tadi, berjaya diselamatkan petang ini.

Kru Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, KD Mengalum, berjaya menemui semua mangsa yang terbabit, Mohd Esa Bin Sa’at, 32; Norhisham Bin Rambli, 34; Freddy Shiro Anak Deri, 39 dan Ahmad Nizam Bin Jamali, 47.

Pengarah Maritim Daerah Kuching, Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, bot empat pemancing terbabit dilaporkan karam kira-kira jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 12.15 tengah hari, pihaknya menggerakkan KM Mengalum ke lokasi kejadian yang terletak lima batu nautika dari Sematan.

“Sejurus ditemui pada jam 3.30 petang, semua mangsa dibawa balik dan tiba di jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin di Muara Tebas pada jam 6.30 petang tadi.

“Semua mangsa tidak cedera dan dibenarkan balik ke rumah masing-masing malam ini,” katanya.

Kejadian itu adalah yang kedua membabitkan bot pemancing karam di Sarawak hari ini selepas satu lagi kejadian yang mengorbankan dua beradik di Sungai Plaie, Kota Samarahan, tengah hari tadi.

Justeru, Shahref, meminta orang ramai khususnya yang terbabit dalam aktiviti di laut supaya menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak (082-432544) atau talian kecemasan 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia apabila.berlaku sebarang kecemasan – berita harian