IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan bersidang mulai Isnin ini akan menyaksikan empat pembaharuan utama.

Speaker, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, empat perubahan dan penambahnaikan itu ialah:-

Penambahan masa perbahasan sebanyak 50 peratus untuk ketua pembangkang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan sesi soal jawap.

Masa untuk ketua pembangkang ditambah daripada 40 minit kepada sejam, ADUN dari 20 minit ke 30 minit dan sesi soal jawap dari sejam ke satu setengah jam.

Pengiktirafan kedudukan ketua pembangkang DUN secara rasmi yang akan diberi kemudahan sebuah pejabat, kereta rasmi dengan pemandu, dua pegawai dan elaun bulanan tambahan berkuatkuasa 1 Ogos 2018.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad yang juga ADUN Kota Tampan telah dicalonkan sebagai Ketua Pembangkang.

Pihak media diberi akses terus dan liputan siaran langsung persidangan DUN.

Pintu masuk DUN dikawal oleh pegawai keselamatan DUN, bukannya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi mengelakkan persepsi negatif bahawa DUN Perak di bawah jagaan dan kawalan sebuah agensi pihak eksekutif.

Datuk Ngeh berharap semua ADUN kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang dapat menjalankan peranan dan tugas mereka dengan baik sepanjang persidangan itu berlangsung.

“Saya harap, semua pihak akan bekerjasama dan saya akan pastikan Perintah Tetap akan digunakan,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan persidangan pada Isnin dan diikuti oleh persidangan pada 7, 8, 9 dan 13 Ogos.