IPOH : Seramai empat pemburu haram warga asing diberkas di Hutan Royal Belum dan Temengor pada September dan Oktober lalu.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak Dr Abdul Aziz Bari berkata, kesemua mereka terdiri daripada warganegara Thailand.

Menurutnya, Jabatan Perhilitan sedang giat menjalankan Kempen Selamatkan Harimau Malaya yang dinaungi oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

“Hasil kempen ini juga telah membawa kerjasama Perhilitan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memerangi aktiviti pemburuan haram.

“Kawasan Royal Belum dan Temengor merupakan kawasan operasi utama dalam kerjasama ini di mana pada setiap masa terdapat beberapa pasukan yang terdiri daripada 10 anggota PDRM dan Perhilitan melakukan rondaan di dalam hutan kawasan ini bagi menagkap pemburu-pemburu haram,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Jalong, Loh Sze Yee di Dewan Undangan Negeri Perak pada Jumaat.

Abdul Aziz berkata, Jabatan Perhilitan tidak mempunyai angka yang tepat dan menyeluruh bagi semua hidupan liar yang diancam kepupusan di Negeri Perak.

Menurutnya, secara umum, bagi mamalia darat besar iaitu spesies yang melebihi 20kg, terdapat 12 spesies mamalia yang masih ada di Perak, iaitu gajah, seladang, tapir, harimau, rusa, beruang, kijang, kambing gurun, harimau kumbang, harimau dahan, babi hutan dan anjing hutan.

“Bagaimanapun Jabatan Perhilitan ada menjalankan inventori bagi spesies-spesies tertentu terutamanya mamalia besar yang terancam seperti harimau belang, gajah dan seladang,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan rekod terkini dalam survey yang dijalankan bagi spesies harimau belang jumlah yang dianggarkan antara 40-50 ekor, gajah (100-130 ekor) dan seladang (50-60 ekor).