YAN: Empat pendaki lelaki berusia 25 hingga 47 tahun dikhuatiri sesat selepas gagal menemui laluan keluar ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Jerai, hari ini.

Ketua Balai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba, Fauzi Shuaib ketika dihubungi berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung perkara itu jam 8.08 pagi tadi.

Katanya, semua mangsa dipercayai memulakan aktiviti pendakian bermula jam 9 pagi, semalam dengan menggunakan trek Batu Kapal berhampiran telaga Tok Sheikh di puncak Gunung Jerai.

“Bagaimanapun seorang dari mereka menghubungi pihak kami pagi tadi bagi meminta bantuan kerana tidak menemui jalan keluar,” katanya.

Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat kini sedang dilakukan dengan kekuatan 12 orang anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), 17 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), 10 anggota dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan tiga malim gunung (REKEY)

“Usaha mengenal pasti lokasi semua mangsa sedang dilakukan dan mereka dipercayai berada di sekitar Sungai Batu Putih, lebih kurang dua jam perjalanan dari lokasi Batu Kapal,” katanya – berita harian