CYBERJAYA : Polis menembak mati empat penjenayah di kawasan tempat letak kereta di sebuah kondominium di Cyberjaya kira-kira jam 11 pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata polis pada mulanya menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita yang disamun empat lelaki bertopeng di rumahnya di Taman Segar Perdana, Cheras pada jam 7.33 pagi.

Selepas menyamun wang tunai dan barang berharga wanita terbabit,  mereka kemudiannya melarikan sebuah kereta Mercedes warna hitam.

Selepas melakukan siasatan, polis telah melancarkan gerakan memburu suspek.

Polis kemudiannya berjaya mengesan kereta Mercedez berkenaan di kawasan letak kereta kondominium terbabit.

Pasukan polis kemudian memperkenalkan diri dan cuba menahan suspek, namun seorang suspek lelaki  telah keluar dari sebuah kereta Volkswagen yang berada di tepi Mercedez berkenaan dan menyerang anggota polis dengan parang.

Dalam masa yang sama beberapa das tembakan telah dilepaskan oleh suspek yang berada di dalam kereta Mercedez ke arah polis.

Pihak polis telah membalas tembakan dan berjaya menembak mati empat suspek warga tempatan berkenaan.

Pemeriksaan ke atas kenderaan yang disamun menemui barangan dipercayai hasil kegiatan kumpulan berkenaan termasuk mata wang pelbagai negara . -Awani