Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Empat penjenayah kempunan apabila cubaan merompak sebuah kedai pajak gadai gagal selepas alat penggera premis itu berbunyi di Jalan Kledang, Menglembu, dekat sini pada awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian sekitar 4 pagi itu, kesemua perompak warga asing berusia dalam lingkungan 45 hingga 60 tahun itu tertangkap apabila anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) sedang melakukan rondaan di Menglembu sebelum terdengar bunyi penggera tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata anggota polis kemudian bertindak menghubungi pemilik kedai yang memaklumkan beliau tidak mendapat sebarang imej melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh diakses menerusi telefon bimbitnya.

“Polis kemudian telah pergi ke bahagian belakang kedai dan mendapati pintu belakang terbuka, dan terus menghubungi cawangan MPV bagi bantuan.

“Pemeriksaan awal mendapati beberapa kelibat suspek berlari di dalam kedai berkenaan ke tingkat atas kedai bersebelahan, dan anggota cuba untuk mengejar tiga orang suspek yang kemudian bertindak melarikan diri ke bumbung kedai.

“Sekitar 4.30 pagi, pihak polis berjaya menangkap seorang lelaki di dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza di luar kedai dipercayai rakan suspek, manakala seorang lagi suspek ditahan sekitar 4.45 pagi apabila beliau dipercayai jatuh dari bimbung kedai kedai bersebelahan,”katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya,  dengan bantuan pihak Bomba mereka telah berjaya menahan dua lagi suspek yang sedang bersembunyi di atas bumbung kedai DIY Menglembu sekitar jam 8.30 pagi.

Mohd Ali berkata kesemua keempat suspek kemudian telah dibawa ke Pejabat D9 IPD Ipoh bagi siasatan lanjut.

“Pihak polis turut merampas beberapa alatan pertukangan, wang tunai, sarung tangan serta dua buah kenderaan jenis Toyota Avanza dan Proton Wira bagi membantu siasatan.

“Tiada kerugian dilaporkan dan kesemua pasport suspek berada dengan mereka, manakala kes akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,”katanya lagi.