MANJUNG : Empat rumah di Jalan Tan Tooi, Pantai Remis di sini, terbakar malam tadi.

Bagaimanapun, kebakaran pada jam 8 malam itu tidak membabitkan sebarang kecederaan pada penghuninya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, anggota di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.08 malam.

Katanya, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dengan operasi turut dibantu anggota daripada BBP Ayer Tawar dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bagan Panchor.

“Kebakaran membabitkan empat rumah jenis dua tingkat dan anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati api sedang marak membakar rumah pertama serta kedua.

“Kejadian itu menyebabkan bahagian tengah rumah pertama musnah sebanyak 80 peratus, rumah kedua 70 peratus, rumah ketiga 30 peratus dan rumah keempat pula hanya terbakar 15 peratus,” katanya hari ini.

Menurutnya, ketika operasi pemadaman dijalankan terdapat tiupan angin yang agak kuat namun tiada mangsa yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Katanya, operasi diketuai Pemangku Ketua BBP Pantai Remis, Alwi Ismail itu tamat pada jam 12.07 tengah malam – berita harian