TELUK INTAN – Tindakan pantas seorang lelaki berjaya menyelamatkan empat sekeluarga yang juga jirannya daripada menjadi mangsa kebakaran awal pagi tadi.

Shah Zali Ishak, 33 yang kebetulan baharu tiba ke rumahnya di Taman Desa Bakti kira-kira jam 3.45 pagi selepas keluar ke Manjung atas urusan peribadi.

Menurutnya, sebaik masuk ke bilik, dia terkejut mendengar bunyi letupan namun tidak mempedulikannya kerana menganggap bunyi itu dari tayar motosikal atau kereta yang pecah.

“Bagaimanapun persepsi saya meleset selepas ternampak cahaya terang melalui tingkap dan melihat rumah di hadapan kediaman saya terbakar.

“Saya menjerit sekuat-kuat hati agar semua penghuni yang terlibat keluar menyelamatkan diri kerana api ketika itu merebak dengan sangat pantas,” katanya.

Dalam keadaan kelam kabut, beliau kemudiannya menghubungi bomba untuk meminta bantuan pada masa sama cuba memadamkan api bersama seorang lagi jiran menggunakan air pili.

Mangsa, A Joseph, 64, mengakui tinggal sehelai sepinggang namun bersyukur keluarganya selamat daripada kebakaran yang memusnahkan rumahnya termasuk tiga motosikal miliknya.

“Saya terima panggilan isteri jam 4.10 pagi memaklumkan kejadian ini dan bergegas pulang bagaimanapun tiada apa yang dapat diselamatkan,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Zulkafle Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.02 pagi bergegas ke lokasi kejadian dengan tiga jentera iaitu dua dari Teluk Intan dan satu dari Hutan Melintang.

Katanya, anggota tiba kira-kira 4.17 pagi dan mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak.

“Ketika tiba di lokasi, empat rumah jenis kelas A sedang terbakar yang mana sebuah rumah telah hampir 80 peratus terbakar dan selebihnya turut musnah masing-masing 70 peratus, 15 peratus dan 5 peratus.

“Operasi kebakaran tamat jam 8.20 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Teluk Intan, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin yang turut melawat mangsa bersimpati dengan kejadian tersebut dan berjanji untuk membantu serta menjaga kebajikan kesemua mangsa.