IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melancarkan draf Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 dengan empat teras pembangunan bagi menjadikan Perak negeri berpendapatan berkualiti menjelang tahun 2040.

Empat teras itu ialah memelihara persekitaran mampan dan komuniti sejahtera; meningkatkan nilai tambah dan produktiviti berasaskan sumber tempatan dan semula jadi; penyediaan kemudahsampaian tinggi dan infrastruktur cekap dan memartabatkan khazanah semula jadi dan warisan negeri Perak.

 

Dr Zambry berkata, draf rancangan pembangunan itu memberi perspektif baru ke arah membangunkan negeri Perak dan meningkatkan pertumbuhan dan meliputi segala aspek yang ada di dalam negeri ini.

“Mahu tidak mahu, kita perlu membuat perancangan ini bagi memastikan agar pertumbuhan dan pembangunan yang ada di negeri ini sentiasa mengikut seperti mana yang telah kita rancangkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program publisiti dan pendengaran awam draf rancangan struktur itu di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Ketua Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Rokibah Abdul Latif.

Dr Zambry menyeru rakyat di negeri ini supaya tampil memberi idea dan pandangan yang konstruktif terhadap draf itu yang akan dipamerkan di semua 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri mulai hari ini sehingga 11 April hadapan.

Terdahulu, di dalam ucapannya, beliau berkata, Perak mempunyai potensi yang luar biasa dengan kelebihan dan kekuatan di setiap daerah yang perlu digarap dalam membentuk wilayah pertumbuhan pembangunan yang bakal memberikan wajah baru kepada iklim ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Justeru itu, kata beliau, kerajaan berhasrat membangunkan empat wilayah pertumbuhan yang bakal menjadi pemangkin pembangunan ekonomi dan fizikal negeri perak dalam dekad akan datang.

Empat wilayah itu ialah Wilayah Metropolitan Lembah Kinta yang meliputi daerah Kampar, Seri Iskandar, Kuala Kangsar dan Sungai Siput; Wilayah Perak Selatan (Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim); Wilayah Perak Utara (Kerian dan Larut Matang & Selama) dan Wilayah Hulu Perak.

Sementara itu, sebanyak sembilan projek `flagship’ utama di Perak telah dicadangkan di dalam draf rancangan berkenaan yang mampu menyokong pengukuhan ekonomi, fizikal dan alam sekitar negeri sehingga 2040.

Projek-projek itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa di Seri Iskandar; lembah makanan negara; pembangunan koridor Sungai Perak; pusat inovasi, pembangunan pelancongan, rel metropolitan Kinta; Pangkor sebagai pulau bebas cukai; pewartaan Taman Negeri Geopark Lembah Kinta dan Perairan Pulau Sembilan dan pewartaan kawasan perlindungan penyu Segari.